Amylea Azizan buat yang terbaik


Amylea membawa lagu Ku Berserah pada Konsert AF Megastar Homecoming di Royal Teater Shah Alam.

Penyanyi, Amylea Azizan, mempertahankan lagu pilihannya, Ku Berserah, pada konsert Akademi Fantasia (AF) Megastar Homecoming, baru-baru ini, walaupun ada pihak menyifatkan karya berkenaan turut menyebabkannya gagal bolos ke peringkat Top 12.

Antara komen ditinggalkan peminat di laman sosialnya, lagu berkenaan dikatakan tidak mencabar kemampuan beliau sedangkan dirinya antara calon yang dilihat berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam rancangan terbabit.

Kata pemenang tempat ketiga AF musim ketiga pada 2005 itu, setiap peserta bertanding diberi beberapa pilihan, termasuk lagu berbahasa Inggeris, kira-kira sebulan lalu.

"Saya sangkal (dakwaan) lagu Ku Berserah tidak mencabar vokal sebagai penyanyi. Saya kira, pilihan lagu ini tepat dengan tema Homecoming.

"Malah, saya berasakan lagu ini sangat mencabar. Saya berusaha keras untuk menjayakannya sebaik mungkin. Nada rendah hinggalah nada tingginya sangat menguji kemampuan diri.

"Lagu yang sudah berusia 12 tahun ini juga diubah dengan diberikan nafas baru dengan sedikit sentuhan R&B. Jangan melihat versi baharu ini tidak menguji kemampuan vokal hanya kerana saya tidak nampak seperti bergelut ketika menyanyikannya," katanya.

Berkongsi perasaannya di Facebook, Amylea berkata, beliau sebenarnya lebih berhati-hati ketika mempersembahkan lagu itu dan enggan menggunakan teknik salah yang mungkin menyebabkan suaranya kedengaran seperti nyaring pada bahagian bernada tinggi.

"Lagipun, ia takkan sedap didengar kalau saya menyanyi sebegitu. Saya juga tidak perlu berlawan nada tinggi kerana ia bukan cara saya ketika menyanyi. Konsert kali itu juga bukan pertandingan yang menentukan siapa menyanyi paling mencabar atau mampu bernada tinggi.

"Saya tidak mahu melepaskan suara semata-mata. Saya mahu penonton dan pendengar senang kala menikmatinya. Apapun, terima kasih atas pandangan semua," katanya yang turut menerima banyak pujian atas persembahannya malam itu.

Dalam pada itu, penampilan terbaru beliau juga dipuji ramai apabila penyanyi yang juga seorang komposer ini berjaya menurunkan 8.5 kilogram (kg). Sebelum ini berat badannya mencecah 61.5 kg.

Kata Amylea, sepanjang sebulan mengamalkan diet, beliau langsung tidak ke gimnasium untuk bersenam.

"Saya pelbagaikan cara diet, termasuk mempraktikkan cara diperkenalkan pakar dari India. Saya hanya amalkan makan telur rebus, minum teh hijau, buah epal dan oat.

"Setiap apa yang saya makan juga tiada campuran gula, sos, garam atau perisa. Malah, dengan mengamalkan diet ini, saya berjaya menurunkan purata sekilogram sehari.

"Pada hari biasa pula, saya makan nasi beras perang separuh genggam, minyak kelapa dara, kimchi, yogurt dan diselang seli dengan air teh hijau tanpa gula," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post