Kebahagiaan Siti Nurhaliza dan Datuk K.
Suami kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menyifatkan kehadiran Siti selama 11 tahun sebagai suri hati dalam hidupnya merupakan anugerah terbaik pernah beliau miliki.
Khalid atau lebih mesra disapa Datuk K berkata, keprihatinan dan sikap ambil berat Siti yang pernah menjaganya ketika dia terlantar sakit antara yang tidak akan dilupakannya selagi hayat dikandung badan.
"Beliau isteri hebat dan terbaik. Siti sentiasa sabar dan menjaga saya (sewaktu sakit) dengan penuh ketabahan.
"Beliau juga menjadi penyejuk jiwa dan setia mendampingi saya sama ada dalam susah ataupun senang," katanya kepada mStar Online.
Datuk K Patah Bahu, Kemalangan Di New Zealand
Khalid, 58, meluahkan perasaan itu saat diminta mengulas sisi peribadi isterinya bersempena sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke 11 yang disambut pada Isnin.
Siti menawan di majlis persandingan mengenakan baju rekaan Micheal Ong.
Siti Nurhaliza dan Datuk K bernikah pada 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Perseketuan.
Pengorbanan yang dimaksudkan Khalid itu ketika beliau terlantar sakit selepas mengalami kecederaan parah kerana terlibat dalam kemalangan motosikal di Queenstown, New Zealand pada 2012.
Manakala Siti Nurhaliza, 38, pula memberitahu kebahagiaan rumah tangga yang dibina selama 11 tahun itu adalah atas dasar sifat toleransi, percaya dan kesabaran yang dipupuk dalam hubungan perkahwinan berkenaan.
Kata Siti, sebagai manusia biasa, dia dan suami juga tidak terlepas dengan salah faham, namun perkara yang dilalui itu mematangkan hubungan tersebut.
"Di sini apa yang boleh saya katakan, kebahagiaan yang saya dan suami terima pada hari ini adalah berkat sifat toleransi, percaya dan kesabaran yang kami sama-sama praktikkan selama 11 tahun melayari bahtera rumah tangga.
Siti terbuka berkongsi tip kekal bahagia selama 11 tahun melayari bahtera rumah tangga bersama suaminya, Datuk K.
"Jika ada perkara yang tidak disenangi saya dan suami berbincang dari hati ke hati dan kami tidak sesekali membuntukan lagi keadaaan," kata Siti.
Sementara itu, Siti berkata, dia akan mengutamakan waktu untuk berdua dan bercuti bersama suami.
Malah adakalanya kesempatan menonton wayang menjadi satu bentuk terapi diri yang dipercayai menjadi penyatu kebahagiaan mereka seisi keluarga.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah sambutan ulang tahun perkahwinannya pada kali ini menjadi sesuatu yang lebih istimewa iaitu tentang kehadiran 'orang baru' dalam keluarganya, beliau meminta agar peminat terus mendoakan rezeki tersebut.
"Doakan agar hubungan kami terus dirahmati Allah dan kami menghargai setiap doa-doa kalian buat kami," akhirnya.