Kunjungan Ahmad Idham ke pusat karaoke bukan semata-mata untuk berhibur sahaja.
Pengarah filem Ahmad Idham pernah beberapa kali mengunjungi pusat hiburan karaoke, namun atas urusan kerja bukanlah untuk berhibur semata-mata.
Idham atau Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 43, berkata tidak dinafikan ramai ahli perniagaan memilih lokasi hiburan seperti itu untuk berurus niaga.
"Tipulah kalau saya kata tak pernah pergi ke pusat karaoke. Saya rasa kebanyakkan ahli perniagaan mesti akan pergi ke tempat seperti itu.
"Kunjungan saya ke sana pun bukanlah semata-mata nak berhibur sahaja tapi atas dasar urusan perniagaan atau kerja.
"Nak pergi tak salah, cuma yang salah kalau kita buat perkara yang tak elok," kata Idham kepada mStar Online.
Isu mengenai pusat karaoke menjadi hangat apabila isteri Aliff Aziz iaitu Bella Astillah menemui aktor itu dengan aktres Afifah Nasir.
Ahmad Idham.
Filem terbaru arahan dan lakonan Idham iaitu Pencuri Hati Mr. Cinderella, kebanyakannya menggunakan pusat karaoke sebagai lokasi utama.
Dalam pada itu, Idham meluahkan rasa terharu apabila ramai pihak media yang hadir memberikan sokongan pada malam pra-tonton tayangan filem terbarunya pada Rabu lalu.
"Kalau orang tanya apa yang mengembirakan saya tentang filem ini, jujurnya saya sangat terharu dengan kehadiran para media yang sudi hadir bersama-sama menyaksikan filem saya ini.
"Sebelum ini saya tak pernah menerima sambutan sebegini rupa. Tak sangka pula, untuk filem kali ini ramai yang sudi menyokong," ujarnya.
Selain Ahmad Idham, antara barisan pelakon yang terlibat ialah Atikah Suhaime, Datuk Eizlan Yusof, Faye Kusairi dan Cat Farish.
Ia akan ditayangkan pada 10 Ogos ini.