Joy Revfa, Isteri Hafiz Hamidun mohon maaf


Hafiz Hamidun dan isteri, Joy Revfa.

Isteri kepada penyanyi Hafiz Hamidun, Joy Revfa, mengakui berlaku kekeliruan berhubung isu suaminya disekat daripada mengikuti akaun Instagramnya.

Joy, 30, atau pemilik nama penuh Siti Arifah Mohd Amin, enggan memperbesarkan perkara berkenaan demi menjaga kerukunan rumah tangga mereka.

"Sebenarnya berlaku sedikit kekeliruan, itu saja. Buat masa ini saya tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut bagi menjaga rumah tangga," katanya ringkas kepada BH Online.

Terdahulu, heboh di media sosial apabila gambar promosi produk kelolaan usahawan wanita yang dicop seksi tersebar sekali gus dianggap tidak bersesuaian dengan imejnya yang berhijab.

Lebih mengelirukan apabila Hafiz pula dalam temubual media memaklumkan tidak tahu menahu mengenai gambar itu selepas mendakwa disekat daripada melihat akaun Instagram isteri sendiri.

"Gambar yang saya kongsi itu berada di papan iklan untuk promosi produk Merve sejak awal tahun ini, iaitu sebelum mendirikan rumah tangga dengan Hafiz.

"Bahagian dada saya pula sudah dipotong supaya tidak menonjol.

Kontroversi timbul apabila netizen melihat gambar itu dalam bentuk penuh.

Apa pun saya memohon maaf atas kekhilafan memuat naik gambar terbabit untuk tujuan promosi produk di Instagram.

"Gambar berkenaan sudah saya padamkan dan berharap perkara terbabit tidak lagi dipanjangkan," kata Joy.

Usahawan kosmetik itu dan Hafiz berkahwin pada 1 Mei lalu selepas bertunang kira-kira dua bulan.

Post a Comment

Previous Post Next Post