Harapan bermakna Salma


SELEPAS memenangi program Mentor musim kelima tidak lama dulu, Salma dianggap sebagai antara penyanyi wanita yang mempunyai kualiti vokal yang mantap.

Buktinya, single sulungnya, Aku Permata berjaya menaikkan pemilik nama lengkap Salmah A.Asis ini dalam industri.

Bagaimanapun, lagu tersebut tidak mampu memberi sinar kemilau dalam kerjaya nyanyiannya selepas itu.

Sehinggalah, Salma sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila dinobatkan sebagai pemenang 3 Juara musim pertama.

Kredibilitinya sekali lagi teruji apabila dia kini gigih mempromosikan lagu terbaru, Akhirnya Cinta sejak April lalu.

Lagu yang dinukilkan Ajai bersama Slen ini dilihat sebagai alternatif terbaik untuk terus bernafas dalam industri sementelah turut dimainkan dalam drama Kukirim Cinta lakonan Ayda Jebat dan Redza Rosli di slot Akasia


“Lagu tersebut sebenarnya dirakam pada Februari lalu tapi promosinya pada sekitar April.

“Jadi secara tidak langsung, saya kira itu juga sebagai satu strategi promosi yang baik,” katanya ketika dihubungi Media Hiburan.

Salma meletakkan harapan besar agar yang dirakam Februauri lalu mencipta fenomena sama seperti Aku Permata.

Penyanyi berasal Tawau, Sabah ini mengakui, lagu itu menyaksikan sisi nyanyiannya yang lebih matang dari sebelumnya dan lebih beremosi kerana mengaitkan dengan perasaan dan cinta.

Rancang album mini

Rancak berkongsi mengenai perkembangan kerjayanya ketika ini, Salma turut memberitahu dia bersama syarikat pengurusan merancang mengeluarkan album mini tidak lama lagi

dan penyanyi itu memberi kepercayaan penuh kepada Ajai terhadap projek album mini ini.

Salma berhasrat memasarkan album tersebut tahun ini juga tetapi mahu melihat terlebih dulu kepada sambutan Akhirnya, Cinta ini.

“Selepas itulah, baru fokus untuk menghasilkan album mini tersebut,” kata Salma turut menambah, album itu nanti akan mempunyai lima buah lagu.

Seperti penyanyi lain, Salma berharap agar lagunya akan dikenali bersandarkan tema cinta yang diketengahkan sekali gus memberi ruang buat Akhirnya Cinta agar terus menjadi pilihan pencinta muzik.

“Lagu tersebut juga sudah berada di semua platform muzik digital dan video liriknya juga sudah dimuat naik di YouTube sejak dua minggu lalu.

“Sehingga kini, ia sudah pun ditonton hampir 100,000 kali. Alhamdulillah, semoga ramai yang suka dengan lagu ini,” akhiri Salma menggenggam harap.

Dalam perkembangan lain, penyanyi ini turut menyertai pertandingan cover version single terbarunya itu menerusi laman Instagram.

Menerusi pertandingan yang bakal berakhir pada 16 Jun depan itu, Salma akan memilih 10 pemenang untuk menerima hadiah istimewa daripadanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post