Anak, isteri keutamaan Shukri Yahaya


ANAK - Kehadiran Aaira Ameena merupakan anugerah terindah yang pernah hadir dalam kehidupan Shukri dan Tya.

Majlis akikah dan doa selamat si kecil Aaira Ameena, puteri sulung kepada pasangan pelakon Shukri Yahaya dan Tya Adnan berlangsung dalam suasana yang sederhana namun cukup manis. Dipadankan dengan tema putih, acara yang diadakan di sebuah banglo di Pulau Meranti, Puchong, Selangor, majlis akikah berkenaan juga ternyata meriah dengan kehadiran keluarga dan sahabat handai.

Dalam keriuhan majlis, terlihat jelas wajah aktor yang popular dengan drama 7 Hari Mencintaiku itu tidak henti-henti menguntum senyum. Senyuman yang cukup bahagia meraikan puterinya Aaira Ameena yang kini berusia empat bulan.

Malah, saat temu bual dijalankan usai majlis berkenaan, Shukri, 30, masih tersenyum simpul sambil meluahkan rasa bahagia dengan kehidupannya hari ini.

Kehadiran Aaira Ameena menjadi penambah seri dalam perkahwinannya bersama Tya yang memasuki usia lebih setahun.

“Sepanjang empat bulan menjadi bapa, ada banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupan keluarga dan diri saya. Paling ketara saya tidak boleh berenggang dengan anak. Setiap kali habis kerja, terasa seperti hendak terbang balik ke rumah untuk bertemu anak.

“Dalam fikiran, saya hanya fikirkan anak. Dia menjadi keutamaan saya dan isteri sekarang ini dalam apa jua perkara,” ujarnya.

Disoal tentang masa bersama keluarga sementelah jadual kerjanya yang terlalu padat, Shukri enggan menjadikan kerjaya seni sebagai alasan untuk tidak mempunyai masa berkualiti bersama orang tersayang.

Oleh sebab itu, Shukri harus mengatur jadual sebaik-baiknya mungkin supaya komitmen terhadap kerja dan keluarga berjalan seimbang.

“Selalunya setiap kali habis sesebuah projek, saya akan ambil masa dengan bercuti seminggu. Dalam tempoh itu, saya akan menggunakan sepenuhnya masa bersama keluarga. Jika terpaksa kerja, saya akan menggunakan teknologi seperti Face Time untuk berhubung dengan isteri dan anak.

“Selalunya semasa saya keluar dan balik ke rumah, pastinya sedang tidur. Dia lebih banyak melihat wajah saya dalam telefon, berbanding secara realiti. Cuma, saya pasti akan pulang ke rumah di Puchong setiap hari untuk melihat anak, meskipun menjalani penggambaran ke Kuala Selangor.

“Jika terdapat komitmen kerja di luar daerah, saya pasti akan membawa keluarga sekali. Tidak lengkap rasanya hari saya tanpa melihat wajah anak,” kongsi Shukri tentang pembahagian masanya.

Menyambung perbualan, tambah Shukri, dia dan isteri cukup bertuah kerana anak mereka mudah dijaga. Bagaimanapun tugas menjaga anak terletak di bahu isterinya yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa sejak kehadiran Aaira Ameena.

“Anak saya senang dijaga kerana bukan jenis yang bangun tengah malam. Dia akan tidur sekitar pukul 9 malam dan akan bangun pada pukul 7 pagi. Keadaan masih baik dan terkawal buat masa ini, tidak tahulah pada masa depan (ketawa),” seloroh Shukri.

Akikah

Berhubung isterinya yang memilih menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, Shukri menjelaskan keputusan tersebut merupakan pilihan Tya sendiri. Dia tidak pernah memaksa atau menghalang Tya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan.

Bahkan ujar Shukri, sebelum mereka berkahwin, isterinya sudah tidak berlakon, sebaliknya hanya bekerja sebagai model dan membuka perniagaan atas talian secara kecil-kecilan.

“Sejak mengenali Tya, dia sudah tidak berlakon. Dia juga tidak terlalu obses untuk menjadi pelakon, sebaliknya lebih suka berniaga. Sebagai suami, saya juga tidak pernah menghalang seandainya dia ingin teruskan kerjaya lakonan.

“Sebaliknya, dia lebih berminat untuk berniaga dan menjaga anak sendiri. Mana yang terbaik, saya ikut sahajalah,” tutur Shukri.

Beralih bicara tentang majlis akikah yang berlangsung pada 1 Januari lalu, Shukri sengaja memilih tarikh berkenaan kerana mengikut kelapangan jadualnya. Selain, jatuh pada hujung minggu, ia juga permulaan tarikh dalam kalendar 2017.

“Sebenarnya kami merancang untuk mengadakan majlis akikah dan doa selamat ini sebulan yang lalu. Ikutkan saya ingin adakan majlis akikah lebih awal, tetapi ketika itu jadual kerja tidak mengizinkan.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Soal tema memang sengaja memilih warna putih kerana ia warna kegemaran saya, cuma dalam majlis ini terdapat sentuhan warna emas yang merupakan idea isteri,” katanya.

Populariti

Berbicara tentang kerjayanya, saham Shukri kembali melonjak sejak meledak dengan drama rantaian fenomena 7 Hari Mencintaiku. Biarpun drama berkenaan telah pun tamat tayangan dengan 12 juta penonton pada episod terakhir, tempiasnya masih dirasai sehingga kini.

Buktinya, jadual kerja Shukri telah penuh sehingga bulan Mei 2017. Namun begitu, tekanan dirasai oleh Shukri kerana harapan tinggi yang diletakkan peminat terhadap projek lakonan seterusnya.

“Sudah tentu saya tertekan sebab selepas drama 7 Hari Mencintaiku peminat pasti harapkan mutu drama dan lakonan yang lebih tinggi. Drama tersebut cukup bagus, oleh itu, saya tidak boleh menjadi stereotaip dan harus lari daripada membawa karakter yang sama,” ujarnya.

Dihujani tawaran lakonan, Shukri bersyukur kerana dia masih boleh memilih karya yang benar-benar bagus. Katanya momentum kerja harus dijaga dan rahsianya memberi lakonan yang meraih pujian ramai adalah bersederhana ketika bekerja.

“Selalunya setiap kali sebelum memasuki set penggambaran, saya akan membaca skrip dan novel andai ia sebuah karya adaptasi.

“Walaupun diberi peranan sebagai pelakon utama, setiap babak ada bintangnya dan ia tidak semestinya saya. Saya harus beri peluang kepada watak lain untuk menyerlah juga, hanya menerusi cara itu barulah drama tersebut seronok untuk ditonton kerana ia bergerak secara seimbang.

“Tidaklah balik-balik penonton asyik lihat watak utama sahaja. Bagi saya setiap watak walaupun kecil ada sumbangan terhadap perjalanan cerita,” luah Shukri.

Ditebak tentang azam dan perancangan untuk tahun 2017, Shukri tidak menetapkan azam yang khusus selain cuba menjadi insan yang lebih baik daripada tahun sebelumnya.

“Saya masih melakukan perkara yang sama untuk tahun 2017. Tawaran kerja sudah ada sehingga bulan Mei antaranya, drama rantaian untuk TV3, telefilem dan filem. Kemungkinan besar sekitar Mac ini filem berjudul Surf This Love akan bertemu dengan penonton di pawagam,” luahnya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post