Hairul Azreen Teguran bukti peminat sayang


Pelakon Hairul Azreen tidak ambil hati dengan teguran peminat di laman sosial selepas tindakannya memuat naik gambar dia melambung anaknya Yusuf Iskandar yang kini berusia empat bulan, baru-baru ini.

Hairul, 28, berkata, dia percaya segala komen diberi membuktikan peminat menyayangi dan mengambil berat mengenai anaknya itu.

"Saya tak marah pun dengan komen yang ditulis, malah berterima kasih dengan mereka kerana menegur dan mengingatkan saya.

“Apa pun, ingin dijelaskan gambar itu diambil dari video yang saya rakam. Pada masa sama rakaman itu dibuat dari sudut bawah, jadi ia kelihatan Yusuf seperti dilambung tinggi. Saya memahami perasaan mereka yang bimbang melihat gambar itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hairul, dia tidak berniat untuk menyakiti anaknya seperti yang didakwa segelintir pihak.

"Memang saya pertama kali mendapat anak, tetapi ini bukan pengalaman pertama menjaga anak. Kalau nak tahu saya pernah menjaga 15 anak saudara. Setiap daripada mereka saya pernah melakukan perkara sama seperti Yusuf.

“Memang banyak yang menegur dengan memaklumkan ia boleh memberi kesan kepada kanak-kanak itu. Namun, disebabkan perasaan ingin tahu saya bertanya kenapa ia tak boleh dilakukan. Dari situ saya membuat kajian dan pembacaan sendiri," katanya.

Gambar yang dimuat naik di laman Instagram milik Hairul itu mendapat lebih 1,000 komen dengan pelbagai maklum balas.

Antaranya ada yang mendakwa perbuatan itu boleh menyebabkan 'Baby Shake Syndrome' jika dilakukan dengan kerap.

Selain itu, ada yang menasihati Hairul supaya tidak mengulangi perbuatan itu kerana kita tidak boleh menjangkakan apa yang bakal berlaku.

Post a Comment

Previous Post Next Post