CRISTINA memang tidak pernah memiliki kelab peminat sejak dahulu.
JARANG sekali bertebaran kisah dan cerita peribadi menghiasi perjalanan pesona figura berbakat besar, Cristina Suzanne sebaik menguak pintu industri perfileman tempatan sejak lebih satu dasawarsa lalu. Jika ada sekalipun, ia cuma kisah ikatan pertunangannya yang ternoktah, itu pun sekitar tiga tahun lepas.
Seakan-akan wujudnya satu perisai yang memisahkan Cristina, 31, daripada mata khalayak yang menilai, sejujurnya itu cara tersendiri pemilik nama sebenar Cristina Suzanne Stockstill kekal sendirian di ruang privasi miliknya sendiri.
“Memang saya memilih untuk menjadi sebegitu. Tiada siapa yang mahu tahu apa masalah kita sebenarnya. Daripada seolah-olah membuka kain sendiri, lebih baik diamkan saja,” ujarnya menguntum senyum kepada Sensasi Bintang.
Usai tiga tahun sendirian tanpa menyulam sebarang bebenang cinta, itu bukan alasan buat Cristina gagal meraih sebarang bentuk bahagia.
“Pejam celik, sudah tiga tahun bersendirian. Buat masa ini, belum ada lagi dan saya tidak tergesa-gesa. Bukan apa, saya percaya kasih sayang boleh didapati dalam apa jua bentuk,” getusnya melentur tawa.
Ungkap Cristina, dia juga selesa mengambil pendekatan mendiamkan diri jika timbul sesuatu konflik dengan sesiapa.
“Saya hanya berdiam dan tidak perlu bercakap dengan individu yang menyakitkan hati.
“Buat apa hipokrit supaya orang sukakan kita, jika marah-marah dan tidak gembira pun, tidak guna juga kerana saya bukannya jenis meluahkan segala-galanya di Instagram.
“Bagi yang tidak mengenali saya, nak kata apa pun katalah. Biarlah membenci saya dahulu, namun akan menyayangi saya kemudian sebaik tahu siapa saya,” cerita Cristina.
Tidak pernah merancang apa yang akan berlaku dalam kehidupannya selepas ini, sejujurnya ada sedikit rasa terkilan yang terbit di hati aktres itu sejak sekian lama.
“Mungkin kerana saya agak boyish dan lasak, ramai yang menyangka saya langsung tidak berperasaan.
“Sedangkan pada masa sama, saya sebenarnya mengambil peduli dan sensitif terhadap sesuatu perkara,” ujarnya penuh makna.
NAWAITU sebenar bergelar pelakon sentiasa diingati Cristina sehingga sekarang.
Nawaitu
Biar ada yang beranggapan betapa Cristina kini seakan-akan berada dalam kelas tersendiri, tidak pernah waima sekali pun dia ‘menongkat langit’.
“Saya menganggap trofi sebagai hadiah, jadi perlu bersyukur. Ia sebagai satu pengiktirafan terhadap hasil kerja kita.
“Cuma, jangan sesekali berasakan diri terlalu bagus apabila menerima sebarang anugerah. Sehingga kini, saya masih bertanya dengan orang lain bagi menjayakan sebarang watak yang ditawarkan.
“Yang paling penting nawaitu. Kita bekerja untuk bayar bil atau untuk apa?” kata Pelakon Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-26 itu.
Tidak hairanlah, Cristina juga tidak pernah memiliki kelab peminat yang menyokong perjalanan seninya selama ini.
“Populariti memang perlu. Jika tidak popular, nanti tiada sebarang tawaran pula. Bagi saya, lebih baik sekiranya membiarkan kemasyhuran yang mencari kita.
“Siapa yang meminati, dipersilakan. Saya sekadar manusia biasa, cuma berkerjaya sebagai seorang pelakon. Terpulanglah kepada pandangan masing-masing,” jelasnya lagi.
Selain itu, dia turut menganggap tuah lebih menyebelahinya apabila acapkali menghiasi layar perak berbanding layar kaca.
“Saya tidak pernah memilih untuk sekadar berlakon filem kerana masih menerima tawaran menjayakan drama, telefilem dan filem pendek sebelum ini,” katanya yang bakal tampil dalam filem terbaharu lakonannya, Surf This Love sekitar Februari tahun depan.
Cuma pada masa sama, teraju filem CEO itu percaya sudah tiba masanya dia bersikap selektif dalam memilih watak terutamanya drama.
CRISTINA sukar untuk tidur malam, selain gemar menghabiskan masa sendirian.
Selektif
“Saya perlu memilih jika ditawarkan watak pembantu dalam mana-mana drama kerana bimbang ditawarkan watak yang sama.
“Umur pun semakin meningkat, jadi saya perlu memastikan ia benar-benar berbaloi,” jelasnya.
Menganggap lakonan sebagai percakapan seharian, Cristina juga sentiasa bersedia untuk digandingkan dengan mana-mana aktor mahupun aktres.
“Seandainya dapat bekerja dengan rakan-rakan, alhamdulillah. Jika tidak, inilah masanya untuk membentuk persefahaman dengan gandingan baharu.
“Saya juga tidak mengidamkan sebarang karakter tertentu, sebaliknya gemar bereksperimen dengan setiap watak yang diterima,” ujarnya seraya menoktah bicara.