Rozita Che Wan perketat keselamatan


Che Ta (kanan) telah mendapatkan khidmat pengawal peribadi beberapa bulan lalu untuk keselamatan keluarga.

AWAL minggu ini, kecoh di laman sosial dan media massa berhubung kereta mewah jenis Toyota Vellfire milik pengacara, pelakon dan usahawan jelita, Rozita Che Wan dicuri dari kawasan kediamannya.

Kejadian pada Selasa lalu itu bukan sahaja mengejutkan Rozita atau mesra di sapa Che Ta tetapi peminatnya turut bersimpati atas nasib yang menimpanya.

Biarpun masih dalam keadaan terkejut kerana kehilangan kereta yang dibeli dua tahun lalu, Che Ta mengambil langkah drastik dengan mengetatkan sistem keselamatan di rumah serta keluarganya.

Menurut Che Ta yang dihubungi Kosmo!, disebabkan bimbang akan keselamatan keluarga, beliau telah menggunakan khidmat pengawal peribadi beberapa bulan lalu.

“Selepas kejadian kereta dicuri memang saya memperketatkan sistem keselamatan di rumah serta diri sendiri. Saya memang mempunyai pengawal keselamatan peribadi sejak beberapa bulan lalu. Malaysia sebenarnya tidak selamat seperti yang saya sangka. Bayangkan dalam kawasan rumah sendiri pun perompak boleh ceroboh masuk,” ujarnya.

Mengimbas kembali kejadian berkenaan, beliau hanya menyedari kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam bernilai RM300,000 itu hilang sekitar pukul 10 pagi apabila mahu keluar bersama suaminya, Zain Saidin dari kediaman yang terletak di kawasan USJ 11, Subang Jaya, Selangor. Rentetan itu, Che Ta telah membuat laporan di Balai Polis USJ 8 pada pukul 11 pagi hari yang sama.

“Saya hanya sedar kereta hilang ketika mahu ke pejabat. Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV), dua lelaki tidak dikenali telah mengopek pagar kawasan kediaman saya dan melanggar palang keselamatan di pondok pengawal kira-kira pukul 4.24 pagi.

“Pihak polis telah merekod semua bukti termasuk wajah perompak. Saya tidak mahu ulas lebih lanjut biarlah pihak berkuasa melakukan siasatan. Apa pun saya harapkan yang terbaik,” tuturnya.

Bercuti ke Santorini, Greece

Pada masa sama, Che Ta sempat berkongsi perancangannya untuk menyambut ulang tahun ke-20 anak sulungnya, Ammar Effendy yang jatuh pada tanggal 28 September depan. Tutur Che Ta, beliau merancang sambutan ulang tahun berbeza tahun ini dengan meraikannya di destinasi percutian terkenal di Santorini, Greece.

Tambahnya, destinasi pilihan itu bukan sahaja untuk menyambut ulang tahun Ammar tetapi juga percutian buat mereka sekeluarga.

“Anak saya memang tidak kisah buat sambutan ulang tahun di mana, malah hadiah pun dia tidak pernah minta. Bagaimanapun, sebagai ibu saya mahu beri yang terbaik kepada anak. Tahun ini agak istimewa, selain menyambut ulang tahun Ammar, saya akan membawa seluruh keluarga bercuti di Santorini. Tempatnya begitu cantik, sesuai untuk percutian keluarga,” kata ibu kepada Aaisyah Dhia Rana, 2, itu lagi.

Jika tahun lalu Rozita Che Wan menghadiahkan anak sulungnya seutas jam tangan jenama Bell & Ross berharga RM19,000 dan sebuah kereta mewah BMW kerana pencapaian cemerlangnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini beliau masih tidak mempunyai sebarang perancangan untuk hadiah anaknya.

“Tahun ini belum tahu hendak beri apa kepadanya. Biasanya saya akan bertanya kepada adiknya, Aniq Ezzra terlebih dahulu apa yang disukai Ammar. Saya tidak mahu beri hadiah yang dia tidak suka atau tidak pakai, nanti membazir. Lebih baik saya belikan barang yang memang diinginkan Ammar,” katanya yang akan melakukan lawatan kerja ke Sydney, Australia terlebih dahulu sebelum bercuti ke Santorini.

Beralih kepada perkembangan kerjayanya, Che Ta yang kini ligat berniaga bakal menemui peminat di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, Terengganu pada 26 dan 27 Ogos ini sempena karnival Gegar Fest. Che Ta yang dipilih sebagai duta karnival berkenaan akan turun padang bersama produknya sendiri seperti pewangi, losyen, jus dan pencuci wanita.

Kongsi Che Ta, beliau suka terlibat dengan karnival kerana selain bertemu dengan peminat, pada masa sama dapat mempromosikan produk secara langsung kepada pelanggan.

“Saya memang suka terlibat dengan karnival seperti ini kerana pulangannya amat lumayan. Bayangkan dalam karnival seperti ini paling tinggi saya dapat membuat jualan sebanyak RM80,000 sehari. Kedai belum dibuka, pelanggan sudah beratur panjang. Respons positif seperti ini membuatkan semangat untuk berniaga berkobar-kobar.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak memerlukan kedai. Cukup sekadar berniaga atas talian dan menggunakan stokis,” katanya sambil memberitahu negeri Pantai Timur mempunyai kuasa membeli paling tinggi di Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post