Cuti Tamat, Siti Nurhaliza Mulakan Proses Album Baharu


Siti Nurhaliza Tarudin

Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memberitahu beliau bakal memulakan kerjaya seninya semula selepas berehat selama lima bulan sejak Mac lalu.

Siti, 37, berkata, dia akan memulakan proses mengumpul lagu untuk dimuatkan dalam album ke-16 yang dijangka bakal dikeluarkan pada awal tahun 2017.

"Saya akan kembali aktif dalam dunia seni semula selepas berehat panjang. Saya mula mencari bahan untuk album baharu.

"Saya harap kali ini lebih ramai komposer lama dan baharu yang dapat menyumbang lagu untuk kami dengar dan pilih yang terbaik," ujarnya kepada mStar Online.

Siti ditemui pada majlis rumah terbuka Simply Siti dan Global Station yang diadakan di JW Marriot di sini, Ahad.


Siti sibuk melayan tetamu yang hadir.

Beliau memberitahu bakal merakamkan sebuah lagu duet bersama penyanyi terkenal Indonesia, Judika sebagai salah satu lagu yang akan dimuatkan dalam album berkenaan.

"Saya juga akan bekerjasama dengan penyanyi Judika untuk lagu duet yang dimuatkan dalam album itu.

"InsyaAllah saya akan ke Indonesia untuk beberapa proses dengan pihak Judika di sana," ujarnya.

Dalam pada itu, Siti berkata, proses pencarian lagu untuk album baharunya akan melalui proses seperti sebelum ini iaitu mendengar melodi tanpa mengetahui siapa komposer.

Katanya, cara itu adalah bagi mengelakkan rasa pilih kasih terhadap lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut.

"Proses kami memilih lagu ialah mendengar melodi tanpa mengetahui komposer kerana tidak mahu ia akan mempengaruhi pemilihan yang dilakukan.

"Seperti album Fragmen ramai komposer-komposer baharu yang bagus dan berbakat yang saya pilih. Kalau boleh saya mahu album akan datang ini dapat mengabungkan komposer baharu dan lama," katanya.


Antara rakan artis dan media yang hadir memeriahkan acara.

Sementara itu, bercakap tentang majlis rumah terbuka Simply Siti dan Global Station, Siti berkata, ia merupakan kali pertama dianjurkan secara bersama.

Katanya, majlis ini diadakan bagi meraikan rakan-rakan dalam perniagaan, pelakon dan sahabat-handai dalam industri yang banyak memberi kerjasama kepada Simply Siti dan Global Station.

"Ini pertama kali kami buat bersama dan Alhamdulillah seramai kira-kira 1,500 jemputan yang datang sejak pukul 4 petang hingga 7 malam.

"Bagi saya, jika buat sekali gus lebih jimat masa daripada datang beraya berkali-kali, lagi pula rakan-rakan kami lebih kurang sama sahaja iaitu sama-sama berkaitan dengan industri," ujarnya.

Antara artis yang hadir ialah Anzalna Nasir, Faizal Tahir, Nelydia Senrose, Fasha Sandha, Nazim Othman, Shah Jazle, Zamarul Hisyam dan Izara Aishah.

Post a Comment

Previous Post Next Post