Wanna Ali mahu dikenali kerana bakat dalam bidang seni serta giat mantapkan vokal.
Gara-gara dilantik sebagai duta produk kecantikan Opiel Secrets yang diasaskan ibu sendiri, penyanyi semakin mencipta nama Wanna Ali mula dipandang serong oleh orang kelilingnya.
Wanna yang mula dikenali menerusi lagu, Lepaskan didakwa menggunakan pengaruh ibunya, Datuk Ayu Puteh, yang juga penerbit Pencil Pictures & Records untuk berada pada kedudukannya hari ini.
Tidak kurang, ada juga yang melemparkan kata-kata negatif seolah ibunya ‘syok sendiri’ melantik anak sendiri sebagai duta untuk jimatkan kos promosi.
Namun, penyanyi remaja berusia 18 tahun itu tetap tenang apabila dicemuh, kerana percaya pelantikannya sebagai duta produk dan bernaung di bawah syarikat rakaman yang diuruskan ibunya ada hikmah tersendiri.
“Pemilihan saya sebagai duta produk syarikat ibu sebab saya sudahpun menjalani testimoni sebelum ini. Sebaik saja produk dihasilkan, saya sendiri mencubanya.
“Saya masih ingat pesan ibu, kenapa mahu menggunakan khidmat orang lain untuk melakukan testimoni, sedangkan anak sendiri ada. Andai ada kesan timbul, ibu boleh melihat sendiri di depan mata dan mampu menanganinya secepat mungkin.
“Begitu juga dengan bidang nyanyian. Ibu memikirkan mengapa dia perlu berhabis duit untuk membangunkan bakat orang lain sedangkan dia tahu yang anaknya boleh menyanyi,” katanya.
Selain Wanna atau nama sebenarnya Norsyazwana Ali, abangnya Fian Ali juga dalam perancangan untuk muncul dengan single pertama dan turut bernaung di bawah produksi milik ibunya.
Pada masa ini, Pencil Pictures & Records turut mengurus tiga lagi artis lain iaitu Wanns Ahmad, Aiman Ismail dan Yuzai Dania.
Jelas Wanna, walaupun bernaung di bawah syarikat milik ibunya namun dia tidak akan membiarkan ibunya mencampuri urusan kerja kakitangan lain setiap kali dia berada di set penggambaran atau melakukan persembahan.
Baginya, dia mahu dikenali kerana bakat malah serius dengan langkahnya dalam bidang seni dan dia juga masih mengikuti kelas vokal.
Anak kedua daripada empat beradik itu kembali aktif dalam dunia seni walaupun sibuk dengan pengajian perniagaan di sebuah universiti tempatan.
Katanya, seni dan perniagaan dua bidang diminati dan dia berusaha untuk memastikan dua perkara penting itu bergerak seiring.
Apatah lagi, dia sedar lambat laun syarikat-syarikat yang diurus ibunya akan diwarisi oleh anak-anak.
Sudah tentu dia akan mengambil alih perniagaan yang dibina.
Selain terbabit dalam bidang hiburan, ibunya juga turut aktif dalam bidang kecantikan dan pengurusan hartanah.
Ibunya juga pernah berkata, mahu perniagaan yang diasaskan itu menjadi hak milik keluarga sepenuhnya dan bakal diurus anak sendiri pada masa depan.
“Saya ambil bidang pengurusan perniagaan sebab mahu bantu ibu urus syarikat pada masa hadapan, terutama Pencil Pictures & Records.
“Ia juga sebagai langkah jaminan buat saya agar dapat terus aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan,” kata Wanna.
Dalam pada itu, penyanyi yang baru saja muncul dengan lagu Tak Mengapa (feat. Juzzthin) ini akan muncul dengan single terbaru berjudul Jika Kau Benar.
Menariknya, single itu antara lima lagu yang akan dimuatkan dalam album pertamanya dan bakal dilancarkan dalam masa terdekat.