Nam Ron, June hidupkan Redha


Nam Ron dan June yang merupakan pasangan suami isteri dalam dunia realiti, membawa watak serupa dalam filem Redha.

MUNGKIN tidak ramai yang menyedari bahawa masalah autisme atau gangguan perkembangan yang melibatkan kecelaruan neurologi pada otak kerap menyerang golongan kanak-kanak.

Masalah autisme akan menyebabkan kanak-kanak yang menghidapinya sukar untuk berkomunikasi sekali gus mengganggu interaksi mereka dengan individu normal.

Biarpun simptom autisme jelas mengganggu masalah komunikasi, namun, masih ada dalam kalangan ibu bapa yang enggan mengambil tahu mengenai masalah tersebut.

Bagi pelakon dan pengarah Nam Ron, masalah autisme dilihat sebagai satu polemik kekeluargaan yang tidak berkesudahan.

Ujarnya, ramai antara ibu bapa kurang terdedah dengan masalah tersebut sehingga menyebabkan masih ada kanak-kanak autisme yang terabai.

“Autisme bukan penyakit. Ia adalah masalah yang melibatkan komunikasi antara dua individu.

“Jadi, kanak-kanak yang menghidap autisme perlu diberi perhatian dan terapi agar mereka dapat menjalani kehidupan bersama individu normal lain,” katanya ketika ditemui di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Muncul dengan filem yang mengangkat isu autisme berjudul Redha, Nam Ron atau nama lengkapnya, Shahili Abdan, 47, berkata, banyak perkara mengenai masalah tersebut yang dipelajarinya daripada filem yang diarahkan oleh Tunku Mona Riza itu.

Malah, pada sesi tayangan media filem yang akan mula memasuki pawagam di seluruh negara mulai esok Redha menerima pujian dan disifatkan sebagai sebuah naskhah yang unik untuk dipertontonkan dalam lambakan filem komersial sedia ada.



“Kanak-kanak yang mengalami masalah autisme tidak menunjukkan simptom yang serupa. Ada yang berkelakuan normal tetapi hakikatnya mereka sukar untuk berkomunikasi.

“Banyak yang saya pelajari daripada filem ini. Mungkin secara tidak langsung, hasil akhirnya akan dapat membantu ibu bapa yang mempunyai anak menghidap autisme,” ujar Nam Ron yang memegang watak sebagai Razlan dalam filem tersebut.

Menariknya, naskhah yang diinspirasikan daripada kisah benar itu turut menampilkan isteri Nam Ron, Junainah Lojong yang memegang watak sebagai isteri kepada Razlan, bernama Alina.

Pertama kali beraksi di layar lebar, Junainah atau lebih dikenali dengan nama pentas, June berkata, kesudiannya untuk menjayakan Redha adalah disebabkan karya-karya yang pernah diarahkan oleh Mona Riza.

“Saya tertarik untuk menerima tawaran Mona Riza disebabkan filem Parit Jawa yang pernah diarahkannya sebelum ini.

“Tema yang diangkat dalam filem tersebut begitu dekat dengan jiwa masyarakat. Jadi, saya percaya bahawa filem Redha ini juga bakal mendapat tempat di hati penonton,” tuturnya positif.

Berbicara lanjut mengenai filem tersebut, June, 38, berkata, kanak-kanak autisme perlu diberi perhatian serius agar masa hadapan mereka tidak terus malap dek kekangan yang tercetus oleh masalah itu.

“Sepanjang menjalani penggambaran filem ini, saya mulai sedar tentang kepentingan untuk membantu kanak-kanak penghidap Autisme.

“Mereka boleh bergaul dengan individu normal jika diberi perhatian dan terapi yang sewajarnya,” ujar June sambil memberitahu kandungannya kini sudah memasuki usia lapan bulan.

Dalam pada itu, ibu kepada Demi Kasih, 10, dan Cahaya Chinta, 5, itu masih berkira-kira mahu meneruskan karier dalam bidang lakonan pada masa akan datang.

“Buat masa ini saya tidak bercadang untuk aktif berlakon. Tetapi, jika ada tawaran menarik, mungkin saya akan pertimbangkan,” ujar June menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post