Erra Fazira Teguran terpuji, diplomatik


Pelakon Erra Fazira melihat surat terbuka ditulis Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berhubung majlis pelancaran koleksi tudung dan sambutan ulang tahun kelahiran pengacara dan pelakon Neelofa atau Lofa di pusat hiburan di Kuala Lumpur, kelmarin, dalam sudut berbeza.

Surat terbabit disiar dan dimuat naik di laman sesawang rasmi milik Zulkifli, semalam menjadi perhatian umum dan hangat diperkatakan.

Sewaktu dihubungi hari ini bagi mendapatkan komennya mengenai isu itu, dia tidak mahu menyentuh mengenai kempen atau majlis pelancaran dilakukan Lofa sebaliknya mahu mengenengahkan cara Mufti memberikan teguran

Katanya membaca pengisian surat terbuka terbabit dan cara Mufti menegur itu seharusnya dijadikan contoh dan panduan kepada mereka yang beragama Islam.

“Apa diperkatakan Mufti harus diberikan perhatian. Mungkin kadang-kadang kita sebagai manusia biasa melakukan kesilapan tanpa kita sedari.

“Pastinya untuk menjadi lebih baik kita memerlukan orang memiliki ilmu tinggi dan berhak memberikan nasihat dan membimbing kita ke jalan kebaikan,” katanya.





Tegas Erra, Mufti berhak memberikan nasihat dan cara teguran itu dibuat sangat terpuji dan begitu diplomatik.

“Pada saya, itulah cara sebenar dan contoh terbaik buat kita sebagai penganut agama Islam dalam menegur orang keliling. Dalam lembutnya ada ketegasan. Membacanya membuatkan hati kita cepat terusik dan sedar,” katanya.

Tambah Erra lagi, selama ini apa dilakukan kebanyakan individu dalam menangani isu membabitkan Lofa mahupun apa saja dianggap bertentangan dengan prinsip mereka begitu kasar sehingga menghentam dan mengaibkan.

“Apabila melihat kembali boleh dikatakan sebahagian besar kita bercakap mengenai Islam dan prinsipnya tetapi cara kita memberikan komen bukanlah cara didikan Islam.

“Pada saya surat terbuka diberikan dan ditulis Mufti adalah contoh terbaik,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post