Janna Nick Jangan melaga-lagakan saya dengan Nabila


Apabila laman Instagram Janna Nick digodam sebelum single terbaharunya, Akan Bercinta dipasarkan, dia dituduh sengaja mencipta gimik tersebut.

Namun penyanyi dan pelakon popular itu menafikan melakukan gimik dengan menggodam Instagramnya, bahkan tidak memerlukan gimik dengan menipu peminat untuk single terbaharunya itu menjadi tular.

Bagaimanapun, kenyataannya kepada media usai melancarkan single keduanya itu minggu lalu telah disalah ertikan segelintir pihak.

Pelakon yang kini hangat dengan drama Coffee Prince itu dituduh menyindir penyanyi baharu, Nabila Razali yang melakukan gimik bercinta dengan pelakon Aedy Ashraf bagi melariskan single terbaharunya, Pematah Hati dan akhirnya dia berjaya apabila lagu tersebut menjadi trending di laman YouTube, sekali gus mempopularkan namanya.

“Kenyataan saya itu tiada kena mengena dengan Nabila atau sesiapa. Setiap penyanyi mempunyai strategi masing-masing untuk mempromosikan lagu mereka.


“Malah, saya kagum dengan Nabila kerana strateginya itu berjaya membuatkan lagunya menjadi trending, bahkan berjaya memecah rekod menjadi penyanyi yang menerima jumlah tontonan tertinggi dalam masa yang singkat di YouTube. Sejujurnya selepas mendengar lagunya, saya sendiri berasakan ia sebuah lagu yang menarik,” ujar Janna kepada Sensasi Bintang.

Mengulas lanjut, pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu berharap tiada lagi pihak yang cuba mengeluarkan kenyataan untuk melaga-lagakannya dengan Nabila.


“Industri seni ini kecil, saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa. Hakikatnya kami okey dan tidak bergaduh, malah, saya turut membuat video lagu nyanyian Nabila. Begitu juga dengan dia yang turut menyanyikan lagu saya. Kami saling membantu mempromosikan lagu masing-masing,” ujarnya yang bersyukur lagu Akan Bercinta kini sudah mencecah 1 juta tontonan di YouTube selepas 10 hari dimuat naik di laman tersebut.

Lebih istimewa, lagu ciptaan penyanyi Drama Band, Aepol Roza itu juga dijadikan lagu runut bunyi drama lakonannya bersama Fattah Amin iaitu Coffee Prince.

Single terbaharunya itu juga membuktikan kesungguhan penyanyi cantik itu apabila video muziknya digarap sepenuhnya oleh Janna sendiri bermula daripada idea, terbitan mahupun pengarahan.

“Alhamdulillah, single kedua ini dihasilkan dengan lebih istimewa dan sememangnya saya mengharapkan ia lebih sukses berbanding single pertama sebelum ini,” jelasnya yang pernah muncul dengan single pertama iaitu Mungkin Saja.

Post a Comment

Previous Post Next Post