Alif Sleeq buka mulut isu curang


Selepas hampir tiga tahun menyendiri bekerja di belakang tabir menghasilkan lagu-lagu buat kenalan artis, Alif yang juga bekas ahli duo Sleeq kini muncul semula. Masih Alif yang sama, cuma kemunculannya kali ini sudah pasti memberi satu nafas yang baharu.

Semestinya, dalam tempoh dia bekerja sebagai ‘orang belakang’, Alif sebenarnya banyak memerhati dengan apa yang berlaku dengan keadaan sekeliling. Justeru, antara yang dapat dilihatnya termasuklah konflik dalam perhubungan yang sering terjadi, terutamanya apabila menyentuh perihal kecurangan dan kepercayaan pasangan masing-masing.

Ironinya dalam dunia hiburan sendiri, situasi itu juga yang sering kita dengar dan baca. Bukan mahu menuding kepada sesiapa, tetapi itulah hakikat yang memang sering berlaku dan menjadi perhatian umum khususnya dalam kalangan netizen sendiri.

“Perkara seperti ini (kecurangan) sebenarnya memang orang tidak suka bincang. Bagaimanapun, dalam dunia siber kini, jika mereka terbaca kisah-kisah sebegitu di Facebook atau laman sosial lain, sudah pasti mereka pun mahu ikuti dan nak ambil tahu.

“Jadi, melihat situasi itu saya cuba ceritakan kepada umum tetapi dengan menggunakan medium muzik iaitu lagu terbaharu saya berjudul Buat Selamanya yang mengisahkan mengenai konflik dalam perhubungan,” katanya ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu pertemuan sesi fotografi baru-baru ini.

Kata Alif lagi, lagu itu disifatkan cukup dekat dengan diri pendengar. Ini kerana, dia percaya, lagu itu secara tidak langsung dapat dikaitkan dengan kisah-kisah yang sering didengari di sekeliling kita dalam kehidupan seharian.

“Buat Selamanya ini memang mengangkat kisah cinta. Ia sebenarnya seperti satu jalan cerita drama. Saya cuba gambarkan situasi apabila sudah berkahwin, perasaan sayang itu mungkin mula pudar.



“Sehinggalah muncul isu kepercayaan kepada pasangan. Lebih parah lagi apabila pasangan mula mengesyaki sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku (kecurangan),” kongsinya yang mahu kembali aktif menyanyi solo.

Sungguhpun begitu, kata Alif, dia menafikan lagu itu mempunyai kaitan dengan kisah kehidupan yang pernah dilaluinya. Katanya, usaha menulis lagu sedemikian hanyalah berdasarkan kisah orang sekeliling sahaja.

“Belum ke tahap itu lagi,” seloroh bapa kepada seorang cahaya mata, Alana Alif yang kini berusia 18 bulan.

Sementara itu, kata Alif, dia sebelum ini mempunyai perancangan untuk membawa isterinya di Singapura ke negara ini, namun terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

“Memang agak sukar apabila ada anak yang masih kecil, tetapi terpaksa berjauhan. Ada beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Insya-Allah satu hari nanti saya akan bawa keluarga saya ke sini. Saya pun nak melihat anak membesar di depan mata,” katanya yang memberitahu video muzik lagu Buat Selamanya itu juga menjalani penggambaran di Singapura.

Post a Comment

Previous Post Next Post