Muhaini Suratman Tak minat sertai Gegar Vaganza


Kehadiran pelbagai program realiti masa kini menjadikan artis sekarang amat bertuah kerana banyak platform untuk mereka menyerlahkan bakat, seterusnya memulakan perjuangan sebagai anak seni.

Berbeza dahulu, hanya Bintang RTM menjadi tumpuan dan melahirkan ramai penyanyi hebat tanah air. Ada lebih dan ada kurangnya kerana cabaran perlu dilalui penyanyi sekarang lebih hebat apabila ramai bakat baru lahir dengan persaingan yang sangat sengit.

Untuk berjaya mereka bukan hanya perlukan bakat tetapi usaha gigih untuk mencari peluang dan ruang.

Kalau dahulu penyanyi dilamar menjadi artis rakaman selepas menang pertandingan tapi kini gelaran juara bukan jaminan mendapat peluang untuk dikenali.

Itulah yang dikongsi dengan penyanyi popular 1980-an, Muhaini Suratman lahir dari Bintang RTM 1978. Walaupun menang tempat kedua (juara M Rizal), Muhaini dilamar menjadi artis rakaman oleh WEA diikuti album pertama bersama Alice Sound pada 1980 dan mula menambat peminat dengan lagu Rindu Selalu.

Album lain, Kehidupanku dan Cinta Yang Satu bersama (WEA) dan Kemelut Rindu (HMR). Muhaini yang mempunyai suara lunak dan merdu, dikenali melalui lagu Kalaulah Ada Jodoh, Rindu Selalu dan Mengapa Selalu Berpisah.

Bagaimanapun, putaran roda ada pasang surutnya. Apabila keadaan industri kurang memberangsangkan, ramai penyanyi yang menghilang.

Muhaini, 58, berkata dia tidak menghilang sebaliknya memperlahankan kerjaya seni untuk membesarkan anak. Waktu sama, dia masih memenuhi undangan menyanyi di majlis sekitar Kuala Lumpur.

Muhaini bekerja sebagai kerani di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya sejak usia 17 tahun dan baru tiga tahun bersara dari perkhidmatan. Dia berhenti menyanyi secara sambilan di kelab malam dan hotel di Kuala Lumpur pada 1995.

Kini Muhaini gembira melihat ramai kawan lama dan seangkatan dengannya kembali menyanyi. Malah kehadiran program realiti khusus untuk penyanyi yang pernah dikenali suatu ketika dulu turut menarik perhatiannya.

Bagaimanapun, ibu lima anak ini tidak berminat untuk kembali menyanyi seperti dulu. Kalau pun ada yang melamarnya, Muhaini tidak berminat mahu mencuba.

“Ia program yang bagus tetapi terpulang kepada individu. Bagi saya sendiri tidak berminat kerana sedar akan kemampuan sendiri. Masa saya juga sudah berlalu dan saya pernah kecapi zaman popular suatu dulu. Cukuplah, takkan mahu kembali semula apa yang sudah kita dapat dulu.

“Tapi saya tidak buang terus dunia nyanyi sebaliknya meneruskan kehidupan. Dalam usia sekarang, tidak lagi sesuai untuk saya menyertai pertandingan seperti itu.

“Ia bukan sekadar memerlukan saya menyanyi, tetapi juga perlu menari dan menyampaikan pelbagai genre lagu. Itu saya tidak mampu lakukan.

“Apa pun, saya bangga dengan kawan-kawan lama seperti Zur Eda dan Razis Ismail yang mencuba nasib dalam Gegar Vaganza 3 (GV3) tahun ini,” katanya.

Bahagia bersama anak-anak

Bahagia bersama suami dan lima anak, sesekali memenuhi undangan dan bertemu kawan-kawan lama menerusi majlis tertentu cukup menggembirakannya.

Dulu ketika menyertai Bintang RTM, statusnya sebagai isteri dan ibu seorang anak dan kini lima anaknya, Mukhairizam, Mirdeeliani, Mirdeeliana, Mir Elfyan dan Mir Elaiza sudah besar.

Katanya, anak tiada yang berminat mengikut jejak langkahnya menjadi penyanyi. Namun suaminya, Amir Ketek dan anak, tidak menghalang dia untuk terus menyanyi.

Baru-baru ini Muhaini menerima undangan Radio Klasik dan terbaru menjayakan program Sepanjang Jalan Kenangan untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Rakaman untuk program itu berlangsung selama seminggu di tempat menarik seperti Sepang, Port Dickson dan Shah Alam. Segmen untuk dirinya akan disiarkan pada 16 dan 23 November ini menyanyikan lagu popularnya.

“Ia satu pengalaman menarik apabila saya kembali sibuk menjayakan rakaman program ini. Gembira dapat bertemu kawan-kawan lama yang turut menyertai program ini,” katanya.

Dalam usia sekarang, Muhaini akui tiada apa lagi yang diinginkan selain menjalani kehidupan aman dan bahagia bersama keluarga.

Penyanyi kelahiran Kuang, Selangor pada 8 April 1958 ini mula menyepi selepas syarikat rakaman terakhir disertai, HMR ditutup pada 1990 kemudian kembali ke studio pada 1997 merakamkan lagu duet bersama Hang Mokhtar malangnya album itu kurang mendapat sambutan.

Muhaini tidak pernah putus harapan apabila sekali lagi merakamkan album Nostalgia Keroncong Caca selepas itu.

Pesan Muhaini buat penyanyi baru, jangan mudah putus asa dan terus berusaha untuk mendapatkan peluang.

“Bukan dalam dunia seni saja, bidang lain juga. Kalau dulu tamat pengajian di universiti saja banyak kerja menanti tapi kini ramai siswazah yang menganggur,” katanya.



Post a Comment

Previous Post Next Post