Intan Sarafina pula dituduh


Malam ini program realiti Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) masuk minggu keempat. Rasanya, peserta yang tersingkir tidak ambil pusing dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Cuma Cik Pang tidak faham apabila ada lagi pihak cuba membangkitkan kembali isu mengapa Maya tidak dipilih untuk menyertai program terbitan Astro itu.

Pelbagai spekulasi ditimbulkan dan paling yang tidak sedap didengar nama Intan Sarafina pula dikatakan menjadi punca.

Cik Pang dapat tahu daripada teman lain, ada beberapa penyanyi dan penggiat industri muzik tempatan menuding jari mengatakan disebabkan pihak penerbitan mahu sangat mengambil Intan menyebabkan nama Maya digugurkan.

Bukan itu saja, penyanyi dan penggiat yang sudah lama dalam industri muzik tempatan sesama mereka mencemuh dan mengutuk kemampuan Intan daripada persembahan sehinggalah kepada paras rupa.

Cik Pang yang mendengar cerita mengenai sikap buruk beberapa penyanyi dan penggiat ini yang mengata dan menghina Intan semata-mata tidak berpuas hati apabila Maya tidak dipilih, hanya mampu telan air liur.

Setahu Cik Pang, sepanjang Intan terbabit dalam program popular itu, dia sentiasa mendapat komen positif juri yang menilai kemampuan setiap peserta.

Intan juga menunjukkan peningkatan dari sudut persembahan dari minggu ke minggu. Kalau benar Intan memang tidak mempunyai kemampuan vokal yang bagus untuk bersaing dengan barisan penyanyi hebat di program itu, rasanya minggu pertama lagi dia sudah disingkirkan.

Takkan orang berpengalaman dalam bidang nyanyian dan muzik seperti Datuk Ramli M.S dan Datuk Khatijah Ibrahim tidak tahu menilai kemampuan dan kelebihan setiap artis terbabit. Siapa pula kita untuk mempertikaikan perkara itu.

Cik Pang risik juga daripada teman yang menyampaikan cerita ini, adakah Intan tahu dan sedar perkara itu. Kata teman itu, Intan tidak tahu tetapi apabila disampaikan kepadanya, penyanyi yang popular dengan lagu Kembali itu, terus sugul.

Intan seolah-olah dapat mengagak ada orang cuba mempertikaikan pembabitannya dalam GV3 dan ia membuatkan dia sedih.

Tapi Intan tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai halangan sebaliknya setiap minggu dia mahu memberi persembahan terbaik dengan melakukan banyak latihan vokal.

Kita rasa orang yang mengata dan mengutuk Intan sebenarnya cemburu dan Maya hanya menjadi penyebab dan punca.

Sebab Maya tak kata apa-apa pun.

Kalau ikutkan Cik Pang, mahu saja diberikan cermin kepada orang yang mengata itu untuk dia tengok diri sendiri dulu sebelum mengata orang lain.

Post a Comment

Previous Post Next Post